Thursday, August 27, 2009

Leburlah Ego

Pagi ini aku bersimpuh
Selepas sujud menghambakan diri
Kepada Pencipta yang Maha Besar
Melihat bintang-bintang di langit
Dalam hening subuh
Persoalan mengangkasa akal fikir
Bintang seakan tergantung
Tapi di mana dahannya?

Langit beransur cerah
Mentari muncul di balik
Mega yang malas berarak
Membawa mendung yang sarat membusung
Siapa yang mampu menahan marahnya?
Siapa yang mungkin dapat merasai nikmatnya?
Siapa yang tertahan bara merahnya?

Angin yang datang
Lembut menyapa kuping
Menaikkan setiap helai roma
Lantas menyerap perlahan
Ke liang-liang dan salur darah
Mati di dalam tulang-belulang.

Semua ini
Membangkitkan rasa syukur segunung
Menolak rasa ego
Dan bongkak
Lalu membakarkannya
Dengan api iman
Dan leburlah dalam keinsafan..............

No comments:

Post a Comment